PERDANA
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi memastikan Malaysia
dapat mencapai status negara maju dalam tempoh lapan tahun akan datang,
negara memerlukan "pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan
segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya
pada masa yang ditentukan dengan selamat."
"Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang
telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan
dengan pemandu yang diragui dan berbahaya," katanya.
Perdana
Menteri mengingat demikian semasa membentangkan Laporan Tahunan
Program Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi
(ETP) 2011 di Angkasapuri malam semalam. Ia turut disiarkan secara
langsung di saluran RTM1.
Beliau
turut mengingatkan rakyat agar "jangan sesekali salah membuat pilihan
dan berhati-hati dengan tukang karut yang melipur lara."
"Mereka
ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak
pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan.
"Makanya,
berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak
indah tapi penuh dengan persona dan perdaya," katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata, kerajaan BN hari ini bukan "kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab".
Malah, tegas beliau, ia merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa berhemah dalam membuat dasar dan membelanjakan wang negara.
Perdana
menteri berkata dalam membuat dasar dan berbelanja, kerajaan tidak
sesekali berniat untuk meranap mahupun membankrapkan negara.
"Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan.
"Sebaliknya
amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan
cakerawala tanpa memikirkan kesannya," katanya.
Najib
berkata kerajaan BN juga tidak gentar untuk bersaing dalam pasaran
idea yang bebas dan kompetitif kerana dipilih secara demokratik di
dalam pilihan raya umum yang bebas dan adil.
"Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia memilih dan meneraca.
"Mereka
tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya rakyat akan
memilih kerajaan yang mempunyai 'track record' yang meletakkan
kepentingan rakyat di atas segala-galanya," katanya.
Malah,
katanya kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah untuk
menjadikan negara lebih demokratik termasuk dengan memansuhkan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang
Negeri, selain membatalkan tiga perisytiharan darurat.
Selain
itu, menggubal Akta Perhimpunan Aman bagi melindungi hak rakyat untuk
berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,
serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi mengiktiraf hak
perlembagaan pelajar untuk menganggotai parti politik, dan meminda Akta
Pelesenan dan Mesin Cetak bagi menghapuskan keperluan pembaharuan
lesen tahunan penerbitan. (Bernama)

No comments:
Post a Comment