Mursyidul
Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu berundur sebagai Menteri Besar
kerana tidak lagi layak menerajui Kerajaan Negeri Kelantan, malah tidak wajar
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Presiden Perkasa, Datuk
Ibrahim Ali menegaskan, banyak sebab menteri besar itu perlu berundur, bukan
sahaja disebabkan faktor umur, tetapi juga kelemahan sepanjang lebih 20 tahun
memerintah negeri itu. Nik Abdul Aziz mengetuai Kerajaan Kelantan sejak Pas
menguasai negeri itu pada 1990.
Ibrahim
yang bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas pada 2008 menggunakan tiket Pas
berkata, antara sebab lain kegagalan membawa perubahan ke arah kemajuan masa
depan rakyat dan sumber pendapatan kerajaan negeri yang semakin menurun.
"Kalaulah dia terus memegang jawatan itu sudah tentu rakyat akan berdepan
dengan banyak masalah. “Oleh itu saya minta Nik Abdul Aziz berundur sebelum
PRU13," katanya di sini. Ahli Parlimen Pasir Mas ini berkata, penyandang
jawatan Menteri Besar perlu dilantik daripada kalangan pemimpin muda yang
berpelajaran tinggi dan mempunyai perancangan berwawasan untuk kemajuan
rakyat.
Katanya,
Nik Abdul Aziz boleh dikatakan memegang jawatan Menteri Besar itu hanya sebagai
pemerhati kerana tidak mampu melakukan apa sahaja pembaharuan menyebabkan Kelantan
masih mundur dan kurang peluang pekerjaan. “Kalau nak dikatakan dia layak
sebagai mufti tidak juga kerana banyak fatwa yang dikeluarkan bercanggah dengan
mufti lain berikutan ada kepentingan politik peribadinya. “Tambah pula sekarang
terikut-ikut telunjuk parti pakatan termasik DAP dan PKR. "Adalah lebih
baik dia berehat sahaja di rumah dan memberi laluan kepada orang yang lebih
muda untuk menerajui kerajaan negeri supaya ada perancangan yang berguna,"
katanya.
Beliau
mengakui kelemahan kepimpinan Nik Abdul Aziz itu menyebabkan Kerajaan Pusat
menghulurkan pelbagai bantuan khususnya kewangan bagi membangunkan negeri
berkenaan sejak dahulu sampai sekarang. Katanya, rakyat negeri itu juga sudah
kurang yakin dengan kemampuan Nik Abdul Aziz terus menerajui Kerajaan Kelantan
dan kemungkinan besar menolak Pas pada PRU13. "Pada hemat saya sudah
nampak dengan jelas rakyat semakin muak dengan karenah kepimpinan kerajaan
negeri yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada membawa perubahan
untuk mereka," katanya.

No comments:
Post a Comment