Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan mendengar kehendak rakyat dalam menentukan calon bagi pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri berkata, beliau sedia kehilangan rakan yang berkecil
hati kerana cita-cita politik dan kepentingan peribadi mereka tidak
dipenuhi.
Katanya, sebagai pemimpin beliau perlu mendengar keluhan rakyat mengenai
wakil rakyat di kawasan mereka. Jika rakyat berpendapat wakil rakyat
mereka tidak melakukan kerja dengan baik dan tidak lagi mahu calon
berkenaan beliau akan membuat keputusan.
“Jadi saya akan membuat keputusan bahawa tempoh untuknya sudah tiba dan
tidak perlu lagi bertanding sebagai calon,” katanya ketika muncul dalam
program ‘988 Streets VIP’ bersama stesen radio FM988, di ibu negara,
semalam.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak melihat tindakan itu bakal mengundang masalah.
“Saya pasti dipersalah dan dipertanggungjawab kerana menggugurkan orang
itu. Hakikatnya, jika orang itu benar-benar menilai dirinya, disebabkan
prestasinya tidak memuaskan atau dia sudah kehilangan keyakinan rakyat
di kawasan masing-masing. Itu sudah menjadi sebab dia tidak boleh
menjadi calon.
“Mereka sebenarnya tidak boleh menyalahkan pemimpin kerana pemimpin
membuat keputusan berasaskan apa yang betul dan saya akan melakukan
perkara yang betul untuk rakyat. Ini prinsip yang menjadi pegangan
saya,” katanya.
Menjawab soalan sama ada pilihan raya akan diadakan pada Mei atau Jun
depan, Najib secara bersahaja berkata, ia satu kemungkinan tetapi
katanya banyak faktor perlu dinilai sebelum pilihan raya diadakan.
“Apa yang paling penting adalah meyakinkan rakyat bahawa itu adalah
waktu paling tepat dan ketika sokongan terhadap kerajaan berada pada
tahap tertinggi.
“Saya masih menilai keadaan, terutama ketika melawat seluruh negara.
Saya mahu menilai bentuk sokongan yang diterima daripada rakyat serta
kemampuan kita dalam menangani isu yang belum selesai. Hanya apabila
kita sudah berasa selesa, maka waktu itulah saya rasa kita perlu menekan
butang,” katanya.
Ditanya mengenai komen liar yang diterimanya menerusi laman sosial
Facebook, Najib berkata, ia suatu perkara yang sudah dijangka.
“Ia lumrah sebagai seorang ahli politik. Saya rasa tidak perlu untuk
menjadi marah kerana memang niat mereka untuk membuatkan anda marah.
“Yang penting, anda percaya bahawa apa yang anda lakukan itu betul. Tapi
jika komen yang positif dan membina, saya fikir ia suatu yang baik
kerana negara kita mempunyai suatu proses yang membolehkan pemimpin
berinteraksi dengan rakyat,” katanya.

No comments:
Post a Comment