Pensyarah
miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila
mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan,
kelmarin.
Lebih
keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan
melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu
dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.
Bagaimanapun,
keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula
bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku
pergelutan dalam bilik berkenaan.
Dalam
kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari
bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan
kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di
sini.
Sumber berkata,
kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi
menghantar tugasan yang diberikan. “Namun, dia terserempak lelaki itu di luar
bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.
“Pensyarah
itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah
berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu
menghantar tugasan.
“Bagaimanapun,
pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu
mahukan benda lain,” katanya. Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian
bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.
“Dengan
bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan
mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium
mangsa. “Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba
badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.
Katanya,
mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.
“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika
memenuhi kehendak seksualnya,” katanya. Biarpun diumpan dengan keputusan
cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan
berlaku pergelutan antara mereka.
Pelajar
terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan
kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan
insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas
dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.
Sementara
itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala
lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima
laporan kejadian berkenaan. Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut
Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

No comments:
Post a Comment